Teknologi digital berpotensi untuk merapatkan jurang antara rakyat dan pemimpin UMNO

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Selawat dan salam junjungan besar Rasulullah, Nabi Muhammad SAW.

Pertama sekali saya ucapkan SELAMAT DATANG ke laman web rasmi UMNO Bahagian Kalabakan.

Buat julung-julung kalinya, UMNO Bahagian Kalabakan melancarkan laman web rasmi bagi tujuan memudahkan urusan pentadbiran, mengeratkan hubungan sesama ahli parti UMNO dan meminimumkan proses permohonan daripada warga sekitar Bahagian Kalabakan.

Antara faktor utama pendigitalan ini dilaksanakan adalah mengambil kira senario harian yang berlaku di pejabat mahupun Cawangan UMNO Bahagian Kalabakan.

Setiap hari banyak permohonan diterima daripada Ketua-Ketua Cawangan, ahli parti begitu juga permohonan daripada orang awam termasuklah pihak sekolah, persatuan NGO dan pelbagai pihak lain yang memerlukan dana, konsultasi dan barangan bagi melaksanakan satu urusan, program serta aktiviti.

Atas dasar inilah, UMNO Bahagian Kalabakan meletakkan komitmen untuk memudahkan proses permohonan ini dibuat tanpa mengenal jarak, masa dan lokasi pemohon.

Selain itu, proses untuk menjadi ahli UMNO juga semakin mudah kerana mana-mana individu yang berminat untuk bersama UMNO Bahagian Kalabakan berprogram menyantuni masyarakat memerlukan serta memberikan idea bernas bagi kebaikan di peringkat Bahagian Kalabakan boleh terus memberikan maklumat diri mereka secara atas talian pada bila-bila masa.

Akhir sekali, UMNO Bahagian Kalabakan akan kekal optimis berkhidmat kepada masyarakat agar kekal relevan menjadi pilihan rakyat di sekitar Parlimen Kalabakan melalui medium yang pelbagai seperti pendekatan fizikal dan penetrasi digital. Yakinilah bahawa teknologi digital berpotensi untuk merapatkan jurang antara rakyat dan pemimpin UMNO.

Sekian, terima kasih.

Yang Benar,

SAMASUDDIN BIN YUSOP

Ketua UMNO Bahagian P.191 Kalabakan