Samasuddin nakhoda baharu UMNO Kalabakan

TAWAU: Ahli perniagaan yang juga bekas Timbalan Pendaftar Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Samasuddin Yusop, 47, menang jawatan Ketua Bahagian UMNO Kalabakan bagi Penggal 2023-2026 pada Pemilihan Ketua Bahagian UMNO Kalabakan, semalam.

Kemenangan Samasuddin atau lebih dikenali sebagai SBYpada pemilihan di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Chin, di sini, selepas menewaskan empat calon lain iaitu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Dr Patawari Patawe, 56; bekas ADUN Balung, Datuk Osman Jamal, 56; Devid Udin, 44; dan Rahimah Yayah, 50.

Penyandang jawatan Ketua Bahagian itu yang juga Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andy Muhammad Suryady Bandy, tidak bertanding pada pemilihan kali ini.

Suryady yang juga ADUN Tanjung Batu, merangkap Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, tidak mempertahankan jawatannya bagi mmemberi tumpuan kepada tugas sebagai Ahli Parlimen dan ADUN selain memberi laluan kepada pemimpin muda menerajui bahagian berkenaan.

Jawatan Timbalan Ketua Bahagian UMNO Kalabakan dimenangi Aslan Fadli Samsul Alang manakala jawatan Naib Ketua Bahagian pula disandang Jerry Kassim@Mohammad.

Samasuddin ketika diminta mengulas mengenai pemilihan kali ini, berkata proses pengundian berjalan lancar dan perwakilan menunjukkan kematangan masing-masing ketika menunaikan tanggujawab memilih calon pilihan dalam semangat kekeliargaan.

“Pemilihan kali ini juga menunjukkan UMNO Kalabakan tidak ketandusan pemimpin muda yang berwibawa dan dengan amanah sebagai Nakhoda baharu yang diberikan untuk menerajui bahagian ini.

“Saya beriltizam untuk membawa barisan kepimpinan yang lebih dinamik dan menyeluruh,” katanya.

Sementara itu, bagi pemilihan Ketua UMNO Bahagian Tawau, Ghazali Ansing berjaya mempertahankan jawatan yang disandangnya sebelum ini apabila memperolehi 319 undi mudah mengenepikan pencabarnya, Mohammad Zaid Said, dengan majoriti 251 undi.

Jawatan Timbalan Ketua Bahagian UMNO Tawau, dimenangi Sarman Amat Simito, manakala jawatan Naib Ketua Bahagian disandang Erwan Palette yang menang tanpa bertanding.

 

 

Kongsi